KOTA KINABALU: “Kami tuntut agar pihak polis untuk menyiasat secara menyeluruh kes kematian Andika kerana kami tidak percaya dia telah membunuh diri,” kata ibu kepada Andika Alam Duri, 23, yang ditemui mati tergantung di jemuran tempoh hari.
Aisyah Ahmad, 60, ketika ditemui di sini kelmarin menegaskan bahawa anak lelakinya kini selamat dikebumikan dan dia masih dalam keadaan terkejut ekoran insiden berkenaan yang menyelebungi mereka sekeluarga.
Enggan mempercayai Andika membunuh diri, apatah lagi setelah mengetahui bahawa terdapat kesan lebam di badan allahyarham ketika jenazah dimandikan, menambah keyakinan Aisyah bahawa kematian anaknya adalah disebabkan faktor lain.
“Kami sekeluarga amat terkejut dengan musibah menimpa Andika namun kami terpaksa redha apabila polis mengesahkan allahyarham mati disebabkan membunuh diri.
“Bagaimanapun, ketika mayat anak saya dibawa pulang ke kampung halaman di Lahad Datu, beberapa saudara-mara yang ketika itu sedang memandikan jenazah Andika mendapati ada beberapa kesan lebam di badannya.
“Kami semua merasa pelik apabila mendapati ada kesan lebam di perut, kaki, dan kesan seperti ikatan tali pada dadanya. Anak saya seakan-akan diseksa sebelum dia meninggal dunia,” katanya.
Tambahnya, dia dan keluarganya kemudian memaklumkan perkara itu kepada polis Lahad Datu agar menjalankan bedah siasat semula bagi mengetahui punca lebam yang ada di badan allahyarham.
“Kami dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa keputusan bedah siasat hanya akan diketahui dalam tempoh seminggu dua ini.
“Naluri ibu, Andika tidak akan membunuh diri kerana dia adalah anak yang baik dan patuh kepada kedua ibu bapanya, apatah lagi tidak pernah berbuat masalah kepada orang.
“Sehubungan itu saya akan bersabar menanti keputusan bedah siasat berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Aisyah berkata satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Menggatal yang meminta agar pihak polis melakukan siasatan terperinci berhubung kes itu.
“Pada laporan polis itu saya menyatakan segala perkara yang berlaku sebelum allahyarham ditemui mati termasuklah pergaduhannya dengan rakan serumah.
“Beberapa hari sebelum anak saya ditemui mati, dia pernah menghubungi saya dan memberitahu ada rakan serumahnya mahu mengancamnya dengan membawa kumpulannya yang dipanggil ATAP.
“Selepas itu saya menasihatkannya agar tidak terlibat dalam pergaduhan, malangnya nasihat itu adalah kali terakhir saya berikan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Sabah, Datu Akjan Ali Mohamad meminta agar perkara berkenaan disiasat mendalam oleh pihak polis ekoran terdapat faktor mengelirukan berhubung punca kematian.
“Kita meminta agar pihak polis untuk menyiasat perkara ini secara terperinci.
“Ini sebagai keadilan kepada keluarga Andika yang percaya allahyarham tidak akan membunuh diri lebih-lebih lagi dia merupakan anak yang baik budi pekertinya,” katanya yang turut bersama-sama ibu bapa Andika kelmarin.
Dalam kejadian pada 26 Mac lepas itu, mangsa ditemui mati dalam keadaan tergantung di jemuran yang terletak di bahagian luar dapur rumahnya di tingkat empat, Taman Sri Maju, Menggatal.
Tweet